Tuesday 26 June 2012

Hari Terbuka SK Taman Desa 2


   Kerjasama dan penglibatan antara guru dan ibubapa amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta fokus pelajar berada tepat pada landasannya. Justeru, hari terbuka yang  diadakan saban tahun merupakan peluang terbesar untuk merapatkan hubungan para guru dan ibubapa. Pada hari Jumaat yang permai kali ini, para pelajar Tahun 4, 5 dan 6 bersama ibubapa mahupun penjaga masing-masing telah terlibat dalam hari terbuka. 





          Seawal jam 8 pagi, kenderaan ibubapa  mula membanjiri perkarangan luar sekolah. Ibubapa dan penjaga  menuju ke kelas anak masing-masing di mana sesi pertemuan dan perbincangan berlangsung. Sudah menjadi kelaziman, riak ceria dan bangga jelas terpancar pada wajah para pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan pertengahan tahun 2012 diselubungi kesuraman dan perasaan berat hati untuk berjumpa para guru.

        

       Para guru menjalankan tanggungjawab dengan efisien dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para pelajar bagi menaikkan motivasi mereka. Ibubapa juga dilihat profesional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu matlamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.

        

       Peratusan ibubapa yang hadir juga meningkat dan ini merupakan petanda baik bagi keseluruhan warga SKTD2. Pihak pentadbiran juga mengambil langkah bijak dengan memberi peringatan serta menahan rekod keputusan peperiksaan para pelajar yang tidak hadir bersama ibubapa.


         Program yang antara lain bermatlamat untuk memaklumkan kekuatan dan kelemahan pelajar kepada ibu bapa serta bersama-sama bertindak progresif untuk memajukan potensi diri pelajar bagi mencapai tahap cemerlang serta menyediakan diri pelajar yang berpotensi untuk lulus cemerlang ke arah persediaan lebih kompetitif ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Pelbagai program kerjasama PIBG sedang giat dirancang bagi memastikan mutu pelajar yang lahir dari SKTD2  tidak akan dipandang sebelah mata oleh masyarakat setempat khasnya dan masyarakat global amnya.




Suasana Hari Terbuka :-


Ibu bapa Mula Memasuki kawasan sekolah

 


























No comments:

Post a Comment