Tuesday 26 June 2012

Hari Terbuka SK Taman Desa 2


   Kerjasama dan penglibatan antara guru dan ibubapa amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta fokus pelajar berada tepat pada landasannya. Justeru, hari terbuka yang  diadakan saban tahun merupakan peluang terbesar untuk merapatkan hubungan para guru dan ibubapa. Pada hari Jumaat yang permai kali ini, para pelajar Tahun 4, 5 dan 6 bersama ibubapa mahupun penjaga masing-masing telah terlibat dalam hari terbuka. 





          Seawal jam 8 pagi, kenderaan ibubapa  mula membanjiri perkarangan luar sekolah. Ibubapa dan penjaga  menuju ke kelas anak masing-masing di mana sesi pertemuan dan perbincangan berlangsung. Sudah menjadi kelaziman, riak ceria dan bangga jelas terpancar pada wajah para pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan pertengahan tahun 2012 diselubungi kesuraman dan perasaan berat hati untuk berjumpa para guru.

        

       Para guru menjalankan tanggungjawab dengan efisien dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para pelajar bagi menaikkan motivasi mereka. Ibubapa juga dilihat profesional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu matlamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.

        

       Peratusan ibubapa yang hadir juga meningkat dan ini merupakan petanda baik bagi keseluruhan warga SKTD2. Pihak pentadbiran juga mengambil langkah bijak dengan memberi peringatan serta menahan rekod keputusan peperiksaan para pelajar yang tidak hadir bersama ibubapa.


         Program yang antara lain bermatlamat untuk memaklumkan kekuatan dan kelemahan pelajar kepada ibu bapa serta bersama-sama bertindak progresif untuk memajukan potensi diri pelajar bagi mencapai tahap cemerlang serta menyediakan diri pelajar yang berpotensi untuk lulus cemerlang ke arah persediaan lebih kompetitif ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Pelbagai program kerjasama PIBG sedang giat dirancang bagi memastikan mutu pelajar yang lahir dari SKTD2  tidak akan dipandang sebelah mata oleh masyarakat setempat khasnya dan masyarakat global amnya.



Sunday 17 June 2012

Gotong Royong Perdana


Tujuan:-

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk menerapkan nilai-nilai murni dan memupuk sahsiah murid-murid dengan kerjasama ibubapa, guru-guru dan masyarakat setempat untuk menjaga kebersihan tandas dan menceriakan tandas. Program ini selari dengan seruan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan kondusif dan selamat.

Selain daripada itu, pihak sekolah dan PIBG juga berharap melalui program ini semua ibu bapa dan masyarakat setempat dapat memberi kerjasama untuk menceriakan tandas sekolah demi keselesaan murid-murid.

Tuesday 12 June 2012

Lagu Sekolah

Tersergam Indah
Mantap dan Bergaya
Sekolah Kebangsaan Taman Desa 2
Suasana Mesra Ceria Harmoni
Tanda Bersih Jiwa
Sekolahku Kesayanganku
Sentiasa Tersemat Dihatiku
Tenaga dan Jiwa
Patuh Bersatu
Di Bawah Lindungan Tuhan Yang Satu
Demi Mencapai Cita Mulia
Bersandarkan Kepada Cogan Katanya
Berdisiplin, Berwawasan
Berprestij, Menjadi Amalan
Agar Sempurna Hidup Di Masa Hadapan
Sekolah Kebangsaan Taman Desa 2

Lokasi Sekolah

Logo Sekolah

Latar Belakang Sekolah


SK Taman Desa 2 terletak di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor. 25 KM daripada Kuala Lumpur. Sekolah ini mula beroperasi pada tahun 2002 . Sepanjang 8 tahun beroperasi, bilangan murid telah mencapai 1398 orang yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sekolah ini terdiri daripada kelas harian biasa dari Tahun 1 hingga Tahun 6, Murid Pra Sekolah Dan Murid Pendidikan khas. " Berdisplin,Berwawasan Dan Berprestij " adalah merupakan cogankata sekolah ini. Kami berbangga sebagai warga SKTD2 kerana sering mengamalkan budaya" educated heart and mind " sebagai amalan semua guru dan murid serta kakitangan.